Dr Muhamad Akmal (tengah) melihat lembu terbiar yang dirampas sebelum ditempatkan di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, Jasin untuk dilelong.

JASIN – Sebanyak lima ekor lembu milik penternak yang dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan di daerah ini telah dilelong kerana membahayakan keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, proses lelongan dibuat setelah pemiliknya gagal menjelaskan kompaun berjumlah RM5,000 untuk kesemua haiwan itu selepas disita pada 13 Januari lalu.

Menurutnnya, tindakan dilakukan mengikut Seksyen 73, 102 dan 102A Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan (Majlis Perbandaran Jasin) 2012.

“Tujuan kita adalah untuk beri pengajaran kepada semua penternak lembu di Melaka kerana selepas ini jika masih melakukan kesalahan sama kita akan anggap haiwan itu adalah lembu terbiar.

“Melaka tidak akan berkompromi walaupun untuk kurangkan 10 sen daripada nilai kompaun kerana kes-kes kemalangan jalan raya akibat lembu terbiar ini sudah banyak kali berlaku,” katanya.

Dr Muhamad Akmal Saleh

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan proses lelongan lima ekor lembu terbiar yang dibida dengan jumlah keseluruhan RM11,700 di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka di Semujuk di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, tindakan sama juga akan dibuat di seluruh negeri dan tidak hanya dilakukan di Jasin.

“Isu lembu berkeliaran ini amat kronik sehingga mengakibatkan kemalangan maut sebab itu kita akan perluaskan proses lelongan ini di seluruh negeri Melaka.

“Dari segi hukum, Mufti Melaka (Datuk Abdul Halim Tawil) juga telah menyatakan selagi ia dilakukan mengikut lunas undang-undang, ianya sah dan halal untuk dimakan atau dijadikan korban,” katanya. – MalaysiaGazette.