GEORGE TOWN – Arus air di dasar Sungai Perai menyebabkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berdepan kesukaran melaksanakan pelan A yang dirancang bagi menangani isu gangguan bekalan air di negeri ini.
PBAPP dalam satu kenyataan berkata, arus itu menyebabkan penyelam menghadapi masalah untuk mengapit semula saluran paip bawah air di sungai tersebut.
Jelasnya, keadaan air yang mengalir deras mengakibatkan penyelam tidak dapat meletakkan pengapit berat dengan betul pada tempatnya untuk diikat.
“Buat masa ini, pihak kami sedang meneroka semua pilihan rasional untuk menyelamatkan Pelan A.
“Setakat jam 9.30 pagi tadi, 50 peratus kerja pengapitan semula berjaya dilaksanakan namun pemulihan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas yang sepatutnya siap esok masih belum selesai.
“Keadaan sama juga dengan pemulihan bekalan air kepada baki 16 peratus pengguna terjejas di hujung paip agihan dan kawasan tinggi,” katanya hari ini.
Tambah PBAPP, pelan B iaitu pengalihan saluran paip yang melibatkan penyambungan dua saluran paip 600 milimeter (mm) dan pemotongan sambungan 1,350mm paip di bawah air sedang berjalan.
“Penyediaan kerja-kerja penyediaan tapak membabitkan pelan B sudah siap 70 peratus.
“Perkembangan mengenai status kedua-dua pelan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Media semalam melaporkan gangguan bekalan air akibat paip di bahagian dasar Sungai Perai bocor yang menjejaskan penduduk Barat Daya serta sebahagian Timur Laut berkemungkinan berpanjangan selama tujuh hari.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak yang diluluskan Mesyuarat Exco hari ini. – MalaysiaGazette