GEORGE TOWN – Sambutan perayaan Thaipusam di Pulau Pinang berjalan dengan harmoni dan tiada sebarang insiden luar jangkaan dilaporkan setakat ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ia berdasarkan penugasan Op Palu mendapati sambutan perayaan Thaipusam yang berlangsung sejak semalam.
“Seramai 1,300 pegawai dan anggota polis ditempatkan bagi penugasan untuk Op Palu kali ini dan tinjauan setakat tengah hari tadi juga mendapati semua pergerakan bagi sambutan itu berjalan lancar.
“Setakat ini, kita anggarkan seramai 100,000 pengunjung dalam dan luar negara keluar masuk ke kawasan sambutan iaitu sekitar Jalan Kebun Bunga.
“Sehubungan, saya nasihatkan orang ramai terus patuhi arahan yang ditetapkan termasuk dari segi lalu lintas sekali gus memastikan sambutan Thaipusam berjalan dengan lancar serta harmoni,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Kok Chin turut meninjau ‘Thaneer Panthal PDRM’ yang didirikan di Jalan Kebun Bunga sempena Thaipusam.
Media sebelum ini melaporkan lebih sejuta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri negeri ini sempena perayaan Thaipusam.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP), RSN Rayer berkata, sambutan tiga hari bermula Rabu ini turut membawa kelainan apabila buat julung kalinya kedua-dua pedati iaitu pedati emas dan pedati perak akan berarak bersama ke kuil di Jalan Kebun Bunga, sebagai tanda perpaduan.
Selain itu, sebanyak 150 ‘thaneer panthal’ atau khemah pengedaran makanan dan minuman percuma turut didirikan di sepanjang laluan perarakan ke kuil. – MalaysiaGazette