Sekumpulan pemuda sanggup datang dari Kuala Selangor untuk meraih pendapatan dengan menjual belon di Thaipusam Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – “Setiap kali menjelang sambutan Thaipusam ia menjadi ruang buat kami menjana pendapatan dengan hanya menjual belon”.

Demikian kata Muhammad Syukri Ikmal Md Anuar, 23, yang datang dari Kuala Selangor bersama tujuh rakannya untuk menjual belon kepada pengunjung kanak-kanak di sini.

Menurut anak muda itu, sudah menjadi rutin sejak tujuh tahun lalu menjadikan sambutan Thaipusam untuk meraih pendapatan.

Muhammad Syukri Ikmal.

“Sejak remaja lagi kami ikut kenalan lebih berusia ke sini (Pulau Pinang) menjelang Thaipusam ini dan selalunya jualan di sini mampu mencecah 1,000 belon bagi setiap seorang kami.

“Kami akan bergerak dari Kuala Selangor dua hari sebelum Thaipusam untuk buat persediaan dan jualan akan dilakukan sehari sebelum dan ketika hari perayaan saja.

“Dalam tempoh dua hari ini memang tidur pun tak cukup kerana seawal jam 7 pagi kami sudah pacak menjual belon dan selalunya semua bekalan belon yang dibawa habis terjual,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Kebun Bunga di sini, hari ini.

Penjualan belon variasi gajah menjadi pilihan utama pengunjung.

Tambah anak jati Selangor itu, bekalan yang jualan Thaipusam akan diperoleh tiga hari sebelum mereka bergerak ke lokasi jualan.

“Kita pilih variasi belon terbaharu termasuk memilih corak serta warna yang mampu menarik minat kanak-kanak.

“Kali ini banyak belon reka bentuk gajah, kapal terbang serta unicorn menjadi pilihan pengunjung kanak-kanak. Setiap satu belon itu dijual pada harga RM10,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati ratusan ribu penganut Hindu serta pengunjung dalam dan luar negara membanjiri Jalan Kebun Bunga untuk ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani sempena Thaipusam.

Selain suasana meriah penganut membawa ‘pal koodam’ (belanga susu) laluan ke kuil itu turut dipenuhi kavadi pelbagai warna.

Kavadi pelbagai warna turut menjadi tarikan Thaipusam di Pulau Pinang.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’ bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak lelaki bongsu Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Sambutan di Pulau Pinang menjadi tarikan susulan hanya di negeri ini menyaksikan perarakan dua pedati iaitu emas dan perak. – MalaysiaGazette