KUALA LUMPUR – Program hutang Islam sulung UOB Malaysia berjumlah RM5 bilion di bawah prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar mencatatkan lebihan langganan kira-kira 3.39 kali.
Kejayaan penetapan harga pertama nota jangka sederhana Islam subordinat Tahap 2 ini selaras dengan keperluan Basel III bernilai RM500 juta (Sukuk Wakalah Tahap 2).
Dengan 45 mata asas melebihi penanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), ini merupakan tebaran paling ketat yang pernah dicatat untuk instrumen modal Tahap 2 dalam pasaran ringgit sehingga kini.
Sukuk Wakalah Tahap 2 ini akan matang pada Februari 2034 dan boleh panggil pada Februari 2029.
Buku pesanan akhir sebanyak RM1.7 bilion membolehkan UOB Malaysia menutup pada kadar keuntungan tetap 4.01 peratus setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, lebihan langganan serta harga ketat yang dicapai menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap kedudukan kewangan UOB Malaysia yang mantap.
“Permintaan kukuh ini juga menunjukkan kecairan dalam pasaran modal hutang tempatan dan keteguhannya dalam menyokong
keperluan pembiayaan syarikat korporat tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sejumlah 42 pelabur berkualiti tinggi termasuk syarikat insurans, pengurus dana, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, bank dan bank swasta telah melanggan tawaran ini.
Sukuk Wakalah Tahap 2 ini telah menerima penarafan AA1 oleh RAM Rating Services Berhad, menekankan keteguhan profil kredit UOB Malaysia.
Terbitan ini dijadualkan pada 8 Februari 2024 dan layak sebagai Modal Tahap 2 secara disatukan UOB Malaysia, mematuhi
Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) untuk Bank-bank Islam oleh Bank Negara Malaysia.
CIMB Investment Bank Berhad dan UOB Malaysia bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi urus niaga ini. – MalaysiaGazette