KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menunaikan solat Jumaat di Surau Utama, Istana Negara di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda yang mengenakan pakaian baju Melayu warna jingga tiba pukul 1.30 tengahari dan disambut pegawai-pegawai kanan Istana Negara serta pengurusan tertinggi surau tersebut.
Usai menunaikan solat sunat dua rakaat dan laungan azan, Al Sultan Abdullah kemudiannya mendengar khutbah khas Jumaat bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku, Jasa Tuanku Tersemat di Kalbu’ yang disampaikan Pegawai Agama Istana, Datuk Munir Md Salleh.
Menerusi khutbah itu, mimbar mengingatkan jemaah supaya mengetahui ketua negara yang bersifat adil, rahmah dan berkebajikan adalah suatu nikmat yang besar anugerah daripada Allah kepada sesuatu umat dan negara.
Umat Islam juga wajib beriman bahawa urusan berkaitan kuasa pemerintahan adalah milik mutlak Allah dan tiada manusia yang kekal berkuasa selamanya.
Pesanan terakhir mimbar iaitu institusi Yang di-Pertuan Agong adalah satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.
Munir turut mengimamkan solat Jumaat yang disertai kira-kira 500 jemaah.
Selepas menunaikan solat Jumaat, baginda bersalaman dengan para jemaah sambil diiringi bacaan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
Difahamkan, solat Jumaat yang dihadiri Seri Paduka Baginda disurau berkenaan merupakan yang terakhir sebelum mengakhiri khidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari ini. – MalaysiaGazette