Fadhlina Sidek.

Saudara pengarang,

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkaitan dengan pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) di sekolah-sekolah telah menarik pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Saya percaya tindakan ini merupakan satu langkah progresif dalam memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan pada masa yang sama, meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris di negara kita.

Pada hakikatnya, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris ini boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah memastikan kecekapan pelajar dalam kedua-dua bahasa ini.

Adalah sangat tepat apabila Fadhlina menekankan bahawa pelaksanaan DLP perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu, termasuk penguasaan bahasa Melayu.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa kecemerlangan dalam Bahasa Melayu adalah asas kepada pembangunan pendidikan di Malaysia. Penting bagi kita memastikan bahawa pelajar yang mengikuti DLP memiliki penguasaan asas yang kukuh dalam Bahasa Melayu agar mereka dapat bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan identiti kebudayaan negara.

Apa yang ditekankan oleh Fadhlina mengenai perlunya memastikan penguasaan asas Bahasa Melayu adalah penting untuk mengekalkan keaslian Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, saya juga menghargai penekanan yang diberikan terhadap penguasaan bahasa ibunda. Memelihara kemahiran dalam bahasa ibunda adalah kritikal dalam memastikan kelestarian warisan budaya dan memupuk rasa kebanggaan terhadap identiti negara.

Langkah-langkah yang diambil untuk menjaga pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular adalah langkah yang bijaksana. Kita perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan sebagai rakyat, kita perlu menerima kepelbagaian dalam bahasa dan kebudayaan kita.

Pengakuan bahawa terdapat isu beberapa murid yang melibatkan diri dalam DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu adalah satu langkah yang jujur. Oleh itu, tindakan KPM untuk memastikan sekolah-sekolah melaksanakan DLP mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan adalah langkah yang bijaksana.

Garis panduan ini, termasuk mengenai peluang bagi murid-murid lain untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda, adalah penting dalam memastikan keadilan dalam sistem pendidikan. Saya percaya bahawa keputusan ini adalah hasil daripada pertimbangan teliti dan keprihatinan terhadap perkembangan pendidikan negara.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KPM atas pendekatan manusiawi yang diambil dalam hal membenarkan murid-murid sedia ada untuk meneruskan kelas DLP. Ini menunjukkan kepekaan terhadap keperluan pelajar dan komitmen untuk memberikan peluang kepada setiap individu.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pendidikan, saya juga berharap agar KPM terus memantau pelaksanaan DLP dan memberikan penerangan yang mencukupi kepada pentadbiran sekolah.

Saya juga mengalu-alukan keputusan KPM bahawa ia sentiasa terbuka kepada cadangan dan inisiatif lanjut dari masyarakat, termasuklah melibatkan mereka dalam sesi dialog bersama pemegang taruh.

Kita patut bersama-sama menyokong usaha KPM dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia. Semoga langkah-langkah yang diambil akan membawa impak positif kepada masa depan pendidikan negara kita.

Semoga usaha ini akan membawa kemajuan dalam bidang pendidikan dan memastikan kedudukan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai aset utama dalam pembangunan negara.

Abdul Razak Ahmad
Shah Alam