Mohd Faris Adli Shukery dan Kunihiko Ogatapada majlis menandatangani perjanjian di Osaka, Jepun untuk merasmikan kerjasama antara JPG dan Fuji Oil Asia Pte. Ltd. (anak syarikat Kumpulan Minyak Fuji) untuk membangunkan kilang penapisan minyak dan lemak khusus yang beroperasi pada tenaga boleh diperbaharui.

KUALA LUMPUR – Johor Plantations Group Berhad (JPG) menjalinkan usaha sama dengan Fuji Oil Asia Pte. Ltd. (Fuji Oil), anak syarikat milik Fuji Oil Group, sebuah syarikat pengeluar bahan makanan terkemuka yang berpangkalan di Jepun untuk membangunkan sebuah kilang penapisan minyak dan lemak khusus yang beroperasi menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

Kerjasama ini dibuat melalui majlis memeterai perjanjian usaha sama di Osaka, Jepun, menandakan pencapaian penting dalam pengeluaran minyak sawit di Malaysia.

Gabungan strategik ini menyatukan kepakaran dan komitmen dua buah syarikat peneraju industri, sejajar dengan dedikasi kedua-dua buah syarikat terhadap tanggungjawab alam sekitar dan inovasi.

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, kerjasama dengan Fuji Oil, peneraju dunia dalam pengeluaran bahan makanan, selaras dengan aspirasi syarikat untuk menjadi pengusaha minyak sawit bersepadu.

Ini dapat dicapai melalui kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menghasilkan bahan keperluan secara mampan dan bertanggungjawab untuk manusia sejagat.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen JPG untuk menangani keperluan sosio ekonomi negara melalui usaha perniagaan yang inovatif serta memastikan integriti dan kebolehkesananproduk kekal sebagai dasar dalam perniagaan.

Sementara itu, Kunihiko Ogata, Pengarah Urusan Fuji Oil Asia berkata ,minyak sawit merupakan bahan mentah utama bagi Fuji Oil Group.

Fuji Oil Asia dan Fuji Oil Group akan terlibat secara aktif dalam pembekalan minyak sawit yang boleh dikesan dan mampan ini bagi menyumbang kepada masyarakat dalam usaha untuk menangani cabaran makanan dan kesihatan dunia.

Usaha sama ini bertujuan untuk mewujudkan piawaian baharu untuk ketelusan, inovasi dan kualiti dalam industri minyak sawit dengan memanfaatkan pengalaman luas JPG dalam penanaman sawit mampan dan teknologi pemprosesan termaju yang dimiliki oleh Fuji Oil.

Kerjasama ini membolehkan JPG memanfaatkan pengalaman luas Fuji Oil di dalam bidang pemasaran, jualan, keupayaan teknikal dan hubungan pelanggan dengan syarikat-syarikat multinasional lain yang terkemuka dalam sektor konfeksi dan makanan berbungkus.

Melalui penubuhan kilang penapisan khusus ini, JPG akan menjadi pengeluar bagi derivatif dan produk khusus minyak sawit yang bernilai tinggi dan berkualiti untuk meningkatkan daya saing pasaran bagi JPG dan Fuji Oil.

Aliran pendapatan tambahan merentasi keseluruhan rantaian nilai JPG juga akan membantu mengurangkan potensi risiko, meningkatkan daya tahan dalam persekitaran pasaran yang dinamik dan membolehkan margin yang lebih tinggi untuk produk
minyak sawit syarikat. – MalaysiaGazette