Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas kerugian RM4 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu laporan diterima daripada mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun semalam.

“Siasatan awal mendapati, mangsa telah melihat satu iklan pelaburan semasa melayari laman sosial dan seterusnya menekan pautan diberikan.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam beberapa kumpulan WhatApps pelaburan itu dan diberikan kelas, tips dan nota berkaitan pelaburan yang ditawarkan.

“Malah mangsa juga dijanjikan pulangan sebanyak 380 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Menara KPJ hari ini.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap semasa mengadakan Sidang Media mengenai situasi semasa Jenayah Komersial di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

Tambah Ramli, mangsa yang terpedaya dengan taktik digunakan itu telah membuat pindahan wang ke 11 akaun syarikat diarahkan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM4 juta.

“Sehingga kini, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan keuntungan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada pesara berusia 74 tahun dipercayai terpedaya untuk menyertai ‘pelaburan bitcoin’.

“Berdasarkan siasatan awal dilakukan mendapati pengadu dihubungi seorang lelaki menerusi WhatsApp yang menawarkan pelaburan bitcoin pada 30 Oktober 2023.

“Pengadu telah diberikan pautan www.accerx.com untuk tujuan pendaftaran dan mendepositkan wang pelaburan ke lapan akaun berbeza dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta,” katanya.

Jelas Ramli lagi, selepas mendepositkan wang itu, pengadu tidak pernah berjaya membuat sebarang pengeluaran keuntungan pelaburan berkenaan sehingga kini.

“Siasatan juga mendapati, sindiket telah memperdaya pengadu untuk mempercayai lapan akaun bank diberikan kepadanya berfungsi sebagai pengurup mata wang memandangkan skim pelaburan disertainya adalah berasaskan mata wang kripto.

“Pengadu yang baru sahaja menceburi pelaburan matawang kripto terpedaya dengan muslihat itu dan mengikuti semua arahan diberikan. Bagaimanapun kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, JSJK kini sedang menyiasat 37 kes berkaitan pelaburan accerx membabitkan kerugian RM20.9 juta.

Ramli menasihati kepada orang ramai yang berminat membuat pelaburan menggunakan mata wang kripto digalakkan merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat.

“Setakat ini, hanya lima syarikat dibenarkan oleh pihak SC untuk melakukan urusan berkaitan mata wang kripto di Malaysia iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd; HATA Digital Sdn Bhd; iMX Global Sdn Bhd; SINEGY DAX Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd,” jelasnya. – MalaysiaGazette