Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberi penerangan statistik kes Jenayah Komersial Tahun 2023, 2004 di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 88 kes berkaitan pecah amanah direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dikesan dilakukan peguam dengan nilai kerugian RM88.4 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamaed Yoosuf berkata, bagi tahun ini sehingga 24 Januari lalu, sejumlah lapan kes dicatatkan dengan jumlah kerugian RM7,485,276.59.

“Walaupun kes yang dicatatkan hanyalah 0.4 peratus berbanding 21,570 peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia bagi tahun 2023.

“Namun purata kerugian direkodkan amat membimbangkan iaitu hampir RM1juta (satu kes). Angka ini memberi gambaran bahawa kes pecah amanah membabitkan peguam tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberi penerangan statistik kes Jenayah Komersial Tahun 2023, 2004 di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

Justeru itu, beliau menggesa Majlis Peguam Malaysia untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman yang dilaksanakan bagi menangani isu salah laku pengamal undang-undang di negara ini.

Pihaknya juga mencadangkan agar prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang urusan transaksi akaun tersebut.

“Jika ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu mekanisme yang efektif bagi mencegah berlakunya kes pecah amanah jenayah membabitkan peguam, malah dapat mengelakkan berlakunya pengubahan wang haram,” jelasnya.

Beliau berkata demikian susulan terdapat kes pecah amanah sebanyak RM333,323.00 didakwa dilakukan seorang peguam yang dilantik bagi menguruskan penjualan rumah di Negeri Sembilan pada 19 Januari lalu.

Ramli berkata, polis telah menerima laporan daripada pengadu yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun berkenaan kes itu.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek serta ejen hartanah telah menguruskan penjualan rumah milik pengadu pada sekitar bulan Ogos 2023. Bagaimanapun hasil jualan itu tidak diserahkan kepada mangsa.

“Kemudian pada Januari lalu, mangsa telah pergi ke firma guaman tersebut dan dimaklumkan kakitangan mereka  wang mangsa telah digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain.

“Pada hari sama, mangsa telah diberikan sekeping cek bernilai RM333,323.00 namun cek tersebut gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik akaun atas sebab tidak diketahui,” ujarnya.

Tambah Ramli, hasil semakan yang dilakukan bersama pejabat tanah mendapati rumah milik mangsa telah dipindah milik kepada pemilik baharu.

Jelasnya lagi, siasatan masih diteruskan dan kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette