KUALA LUMPUR – Trend penipuan pelaburan dalam talian terus mencatatkan nilai kerugian tertinggi tahun lalu dengan merekodkan sebanyak 5,389 kes membabitkan nilai kerugian mencecah RM472 juta.
Keadaan itu membimbangkan apabila kerugian sebanyak RM44 juta bersamaan 47.7 peratus direkodkan bagi tempoh 1 hingga 15 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia jelas menunjukkan ada sindiket cuba ‘memancing’ mangsa terutama golongan warga emas.
“Terdapat beberapa modus operandi digunakan sindiket penipuan pelaburan ini untuk mencari mangsa termasuk menggunakan nama individu berpengaruh seperti selebriti dan agamawan untuk mencari mangsa.
“Antara penipuan yang sering ditawarkan sindiket ini adalah pelaburan berasaskan saham, forex dan mata wang atau aset digital.
“Sebagai contoh, bagi pelaburan berasaskan saham, sindiket akan menggunakan media sosial sebagai medium untuk mengiklankan skim pelaburan.
“Melalui sistem algoritma yang diwujudkan oleh media sosial, iklan skim pelaburan tersebut dihantar kepada sasaran yang berpotensi untuk menjadi mangsa.
“Mangsa yang melihat iklan pelaburan akan menekan pautan yang tertera dan seterusnya berhubung dengan suspek melalui aplikasi whatsapp,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, hari ini.
Tambah beliau, ada juga penipuan pelaburan yang menawarkan pelaburan tanpa risiko serta jaminan keuntungan yang tinggi telah mengakibatkan ramai individu tertarik.
“Kurangnya ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan selain taktik pengiklanan dan pengoperasian skim pelaburan yang dilihat meyakinkan mendorong ramai individu mangsa penipuan.
“Kita (polis) mendapati sikap individu yang suka mengambil jalan mudah dan cepat bagi mencari keuntungan menyebabkan mereka terjerumus menjadi mangsa,” ujarnya.
Jelas beliau, kumpulan individu yang berada dalam lingkungan 60 tahun ke atas lebih mudah menjadi sasaran.
“Berdasarkan rekod pada tahun lalu, sebanyak 744 individu atau 13 peratus mangsa penipuan pelaburan direkodkan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
“Jumlah ini menyaksiakan peningkatan 213 peratus berbanding hanya 237 individu dari kumpulan umur sama direkodkan pada 2022.
“Selain itu, sebanyak 4,170 operasi bagi membanteras sindiket penipuan pelaburan dijalankan sepanjang tahun lalu dengan 3,409 individu ditahan,” jelasnya.
Bagi memastikan kegiatan penipuan pelaburan dapat dibendung, beliau mengingatkan orang ramai bahawa setiap pelaburan yang tulen mempunyai risiko kerugian.
“Carilah ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan dan fahami bentuk-bentuk pelaburan yang boleh disertai.
“Paling penting, jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette