sprm
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah menahan seorang Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5,000.

Wang secara tunai itu diambil daripada kontraktor pembinaan sebagai dorongan untuk tidak diganggu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an ditahan kira-kira pukul 1.30 petang semalam dipercayai meminta rasuah tersebut untuk elak diganggu oleh PBT ketika melaksanakan aktiviti pembinaan tambahan dan ubah suai kediaman walaupun telah mendapat kelulusan pelan bangunan yang dikeluarkan PBT berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah Bee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, katanya, suspek akan dilepaskan hari ini dengan jaminan SPRM setelah kenyataan direkodkan. – MalaysiaGazette