IPOH – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) sedang menjalankan siasatan dalaman susulan dua individu didakwa di mahkamah atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama badan tersebut.

Pejabat Komunikasi Korporat Strategik MB Inc dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius berhubung insiden itu selain sedang membantu siasatan pihak polis.

“Sekiranya (didapati ada) mana-mana kakitangan MB Inc didapati terlibat dalam isu yang berbangkit ini, MB Inc. akan mengambil tindakan dalaman yang tegas.

“Pihak-pihak yang ingin membuat pertanyaan atau menghantar cadangan kepada pihak MB Inc. dinasihati untuk menghubungi MB Inc. melalui medium-medium rasmi MB Inc.

“Orang awam dinasihati supaya tidak menggunakan perkhidmatan ‘orang tengah’ atau mana-mana pihak yang mendakwa bertindak bagi pihak MB Inc,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama MB Inc. pada 2022 dan tahun lalu.

Tertuduh, Heidil Iskandar Mohd Shamlan, 33, dan Mohd Zulkifli Mohd Toha, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan menipu Muhammad Razlan Abdullah, 65, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka dapat memberi satu projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Hulu Perak menggunakan nama MB Inc kepadanya.

Dilaporkan, mereka dengan curangnya mendorong Muhammad Razlan untuk menyerahkan wang tunai RM300,000 dan RM350,000 yang beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast