KUALA LUMPUR – Empat buah bengkel di Sepang dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, dan Pelupusan Sampah Sarap (Majlis Perbandaran Sepang) 2007.
Majlis Perbandaran Sepang dalam kenyataanya berkata, tindakan ini dilaksanakan setelah pemantauan dan teguran secara notis bertulis telah dijalankan bermula tahun 2023, dan para pemilik bengkel telah diberikan tempoh bersesuaian yang secukupnya.
Tindakan yang dijalankan pada 23 Januari lalu melibatkan bengkel di sekitar kawasan Kampung Baru, Sungai Pelek, Meranti Permai, dan Putra Perdana kerana tidak menyediakan tong sampah di premis, kesalahan membuang sisa industri atau buangan perdagangan di tempat yang tidak dibenarkan oleh pihak majlis, menyebabkan pelepasan effluen yang tidak dibenarkan dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling.
“Kadar kompaun maksimum bagi kesemua kesalahan ini adalah RM1,000 dan tindakan ini adalah penting bagi memastikan pemilik premis bengkel mengurus sisa pepejal industri / dagangan dengan baik dan tiada sebarang effluen bahan buangan terjadual dilepaskan ke longkang awam yang akan menyebabkan pencemaran alam sekitar,” kata Majlis Perbandaran Sepang dalam hantaran di Facebook.
Tindakan tegas ini bagi memastikan minyak hidraulik, minyak hitam terpakai dan lain-lain daripada memasuki longkang awam.
Pihak majlis juga meminta kerjasama daripada penduduk sekitar untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan boleh dipanjangkan ke Jabatan Kesihatan Persekitaran atau hubungi di talian 03-83190246. – MalaysiaGazette