Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – ‘Lim Sian See’, seorang pempengaruh media sosial yang tegar mengkritik dasar kerajaan mencabar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk menjemputnya sebagai tetamu podcast ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM).

Pempengaruh yang pro dasar ekonomi yang dilaksanakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak akan mengelak jika Rafizi menjemputnya ke rancangan yang dihoskan sendiri oleh Ahli Parlimen Pandan itu.

‘Lim Sian See’ berkata, dia akan mendedahkan identiti dirinya yang sebenar dalam program itu sambil menambah Rafizi mengenali dirinya.

“Jika dia jemput saya ke podcast dia, sudah tentu saya akan terima dan hadir dengan identiti sebenar saya. No problem. Dia bukan tak kenal saya. Dah lama dia kenal saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membalas komen seorang pengikutnya di Facebook yang mendesak dirinya hadir dan bersemuka dengan Rafizi.

Ini kerana ‘Lim Sian See’ seringkali mengkritik idea lampau Rafizi yang tidak diserapkan selepas menjadi menteri.

“Pergilah podcast Rafizi Ramli. Dia bagi kutuk depan, kau yang tak berani. Sembang lebih la kau ni,” kata individu yang menggunakan akaun bernama Ustaz Al-Asri.

‘Lim Sian See’ antara lain mengkritik pengenalan cukai baharu dan kenaikan harga utiliti seperti elektrik dan air serta rancangan untuk menarik balik subsidi pukal yang dilaksanakan dalam masa yang terlalu singkat yang disifatkan olehnya sebagai berisiko.

Turut disentuh beliau mengenai dana Kumpulan Wang Persaraan yang menyusut berbanding ketika pentadbiran Najib selain hutang negara yang meningkat selepas pentadbiran baharu mengambil alih.

Enam hari lalu, Rafizi dalam satu hantaran berkata, beliau telah menghubungi ramai pemimpin dan aktivis maya Perikatan Nasional yang berpotensi untuk ‘membakar’ dirinya dalam podcast YBM.

Bagaimanapun sehingga kini semuanya telah menolak dan tidak berani bersemuka termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim.

“Jadi, saya akan berpegang kepada matlamat utama podcast YBM; iaitu memberi ruang kepada mereka yang membangkang, atau kritikal kepada pendekatan kerajaan.

“Oleh kerana setakat ini belum ada pemimpin atau penyokong PN yang berani tampil, kami buka juga kepada individu lain. Mereka bukan pembangkang, tetapi ada kecenderungan kritikal dan sinikal dengan kerajaan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast