Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyertai larian bersama orang kelainan upaya (OKU) pada program larian MAIWP RUN 2024 di Dataran Wawasan Putrajaya, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 28 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) akan menggunakan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai tapisan pemohonan zakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, PADU akan digunakan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima zakat.

Katanya, ia juga bagi memastikan mereka yang telah terkeluar daripada kategori asnaf dan tidak lagi layak menerima zakat daripada terus menerima sumbangan.

Tindakan itu sebagai usaha pemutihan data penerima zakat seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pemukiman Jemaah Menteri, dua minggu lalu.

“Jadi alhamdullilah MAIWP telah buat lama (pemutihan), cuma kita akan pergiatkan lagi dengan arahan dan keputusan PM buat pemutihan untuk kita kenal pasti mereka yang sudah tidak layak menerima zakat.

“Insya-Allah kita sedia maklum tentang PADU, akhirnya yang ada pada MAIWP kita akan selaras dengan PADU,” katanya kepada wartawan hari ini.

Beliau ditemui selepas melepaskan lebih 11,000 peserta MAIWP Run 2024 – Powered by PPZ.

Antara gelagat peserta yang menyertai program larian MAIWP RUN 2024 di Dataran Wawasan Putrajaya, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 28 JANUARI 2024.

Beliau ditanya mengenai tindakan segelintir penerima zakat yang berdiam diri terus berdiam diri menerima sumbangan walaupun sudah tidak berada dalam kategori asnaf.

“Kita ada beberapa orang asnaf yang sudah keluar daripada kepompong asnaf dan tak layak menerima zakat telah tampil ke hadapan memaklumkan dia tidak lagi berhak untuk zakat. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada golongan ini.

“Kita ada juga kes-kes yang mana mereka yang sudah keluar tetapi tidak memaklumkan yang dia sudah keluar daripada zon layak menerima zakat. Saya merayu dan minta kepada mereka ini untuk tampil ke hadapan dan memaklumkan.

“Kita kena ingat zakat ini sebenarnya adalah hak untuk orang-orang tertentu kalau kita tak termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat tersebut makna kita ambil hak orang lain,” tegasnya.

Sementara itu MAIWP Run 2024 yang kali kedua dianjurkan merupakan antara program yang diadakan sempena menyambut 50 tahun penubuhan PPZ dan MAIWP.

Acara yang berlangung di Dataran Wawasan itu disertai pelbagai bangsa, agama dan negara turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Turut menyertai adalah Timbalan Menteri Agama Senator Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar, Pengerusi PPZ-MAIWP Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd. Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman.-MalaysiaGazette