PASIR MAS – Seorang lelaki orang kena tahan (OKT) yang lolos ketika berada dalam tahanan lokap Mahkamah Pasir Mas pagi tadi, berjaya ditahan semula pada 2.30 petang ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata, OKT tersebut ditangkap di rumah ibu saudaranya di Kampung Kubang Badak, di sini, yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari kompleks mahkamah berkenaan.
“Tangkapan dibuat oleh Pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Pasir Mas serta anggota Task Force Balai Pasir Mas.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada 10.45 pagi tadi anggota Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas telah menerima panggilan memaklumkan seorang OKT telah melarikan diri.
“Kejadian berlaku pada 10.35 pagi iaitu semasa proses keluar masuk OKT ke dalam lokap mahkamah.
“OKT yang dalam keadaan tidak bergari telah keluar dari sel lokap Mahkamah Majistret dan terus berlari keluar menuju ke pintu hadapan pagar Mahkamah Pasir Mas sebelum menghilangkan diri berdekatan Rumah Dodol Pasir Mas,” katanya.
Menurut Kama Azural berikutan insiden itu, Op Tutup telah dijalankan dengan 11 sekatan jalan raya dibuka sepenuhnya pada 11.30 pagi melibatkan semua anggota balai dan bahagian.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, OKT ditahan pada 25 Jan lepas di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan hasil semakan mendapati OKT juga merupakan orang yang dikehendaki bersabit kes Seksyen 39C(1) akta sama.
“Pada hari ini, OKT tersebut telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk proses pertuduhan di bawah Seksyen 39C(1) ADB 1952, bagaimanapun semasa berada di tahanan lokap mahkamah OKT telah melarikan diri,” katanya. -BERNAMA