Keratan layar video yang dikongsi oleh pasangan pelancong di YouTube.

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik dirakam “menyaman” pasangan pelancong yang didakwa memandu melebihi had laju dengan menerima bayaran wang tunai RM100 di lokasi kejadian berbanding bayaran di balai polis sebanyak RM300.

Dalam perkongsian di YouTube melalui akaun ‘UK Van Lifers’, kedua-dua mereka yang kini popular di media sosial dalam edisi jelajah Malaysia menggunakan van telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh.

Visual van yang dipandu pasangan itu ditahan oleh anggota polis trafik yang lengkap berpakaian seragam pada minit ke 3:52 dalam perkongsian bertajuk “UK Van Lifers stopped by the polis in Malaysia”.

Dalam perbualan, polis itu mendakwa van tersebut dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada pukul 11.30 pagi.

Pemandu van berkenaan seorang wanita bertanya apa yang perlu mereka lalukan.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya. Boleh? Atau bayar di sini?” soal polis berkenaan.

Wanita itu kemudian berkata, terpulang kepada polis tersebut sama ada hendak memberi surat saman atau membuat bayaran serta merta.

“Kalau (bayar) di balai polis RM300. Kalau di sini RM100,” kata polis tersebut sambil melihat telefonnya.

Dalam visual tersebut, pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang kertas berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.

Anggota polis tersebut kelihatan mengambil wang berkenaan tanpa memberikan sebarang surat saman.

Malah beliau menolak untuk melihat sebarang dokumen selepas wanita berkenaan membuat tawaran untuk berbuat demikian.

Dalam komen yang dibuat dalam video berkenaan, pasangan itu berkata mereka tidak menyedari telah memandu melebihi had laju.

Bagaimanapun katanya, membayar secara tunai dengan kadar yang lebih rendah di lokasi kejadian adalah pilihan yang baik berbanding terpaksa pergi ke balai polis dan membayar denda yang tinggi.

Sementara itu seorang pengguna media sosial Khairul Azri yang berkongsi kisah pasangan pelancong itu meminta pihak polis untuk menguar-urarkan sistem baharu kaedah pembayaran saman terbabit.

“Mereka telah diberikan diskaun serta-merta sebanyak RM200. Menarik dan efisien sungguh, mungkin ini strategi baru untuk memudahkan pembayaran saman dan juga menambahkan pendapatan melalui kutipan saman.

“Bukan itu sahaja, selain boleh bayar secara langsung, mereka juga tidak perlu menunjukkan lesen memandu atau apa-apa dokumen sepanjang proses pengeluaran dan ‘penyelesaian’ saman.

“Cukup sekadar menyebut nombor kenderaan di ‘walkie talkie’. Mungkin ini sistem baharu yang telah diperkenalkan. Paling menarik sistem terbaru ini bukan sahaja ‘efisien’ semata malah juga mesra alam sekitar bila tidak ada pengeluaran resit saman yang dikeluarkan cukup dengan perkataan ‘settle’, ataupun ‘setel’ barangkali ?” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast