PUTRAJAYA – Tindakan tiga individu yang mengadakan pertunjukkan silat di Majlis Nabawi di Madinah, Arab Saudi baru-baru ini tidak menjejaskan kuota haji namun mungkin memberi imej buruk kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang bantahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berhubung kejadian itu.
“Setakat ini tidak menerima sebarang laporan negatif yang sehingga menjejaskan kuota. Sebab kuota itu telah diberikan dan tidak timbul persoalan kuota akan dikurangkan.
“Cuma saya mengharapkan, merayu tambah kuota tersebut. Rayuan kita ini tidak dijejaskan dengan insiden silat,” katanya kepada media hari ini.
Beliau ditemui selepas melepaskan lebih 11,000 peserta MAIWP Run 2024 – Powered by PPZ sempena sambutan ulangtahun ke-50 Majlis Agama Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat di Dataran Wawasan di sini.
Bagaimanapun Mohd Na’im menasihatkan umat Islam yang berkunjung ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram di Mekah untuk memperbetulkan niat dengan hanya memberi fokus sepenuhnya untuk beribadat.
Katanya, tindakan lain daripada beribadat seperti membuat pertunjukan silat dibimbangi akan memberi imej tidak baik kepada negara.
“Dalam konteks mengunjungi dan ziarah Majidil Nabawi itu tujuan dia adalah untuk bersolat dengan balasan pahala yang tinggi selain daripada untuk menziarahi makam Nabi Muhammad SAW. Itu niat.
“Saya bimbang nanti kalau ada niat-niat lain (seperti) untuk buat pertunjukan silat dan sebagainya akan memesong daripada niat asal utuk melakukan ibadat. Dibimbangi juga akan menjejaskan imej dan nama baik negara.
“Nasihat saya kepada mereka nak menziarahi Masjid Nabawi, Masjidil Haram untuk memperbetulkan niat masing-masing kalau nak beribadat tumpukan kepadanya,” katanya.
Sebelum ini tular satu video di media sosial membabitkan seorang lelaki dewasa bersama dua orang kanak-kanak lelaki bersilat di hadapan Masjid Nabawi di Madinah.
Tindakan tiga beranak yang lengkap berpakaian tradisi Melayu siap bertanjak itu mengundang pelbagai tanggapan warga maya.
Ada netizen yang beranggapan tindakan tiga sekeluarga itu keterlaluan dan boleh mencemarkan nama baik Malaysia.-MalaysiaGazette