Pengerusi PTPTN (kiri) Datuk Norliza Abdul Rahim bersama Ketua Eksekutif PTPTN (kanan) Ahmad Dasuki Abdul Majid ergambar bersama hadiah utama Cabutan Tahunan Kategori Platinum, Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.

KUALA LUMPUR – Hadiah lumayan bernilai lebih RM1.3 juta untuk 983 orang pemenang yang layak ditawarkan menerusi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, kempen tersebut diadakan bagi menggalakkan amalan penabungan.

Beliau berkata, kempen berkenaan dalam masa yang sama merupakan penghargaan PTPTN kepada para pendeposit Simpan SSPN.

“Termasuklah mengadakan Cabutan WOW! Simpan SSPN yang merupakan program signature tahunan PTPTN sejak tahun 2015,” katanya selepas melancarkan Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.

Menurut beliau, tempoh promosi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 diadakan sepanjang tahun bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember 2024.

Katanya, sebanyak lima kategori Cabutan Siri dengan tema tertentu termasuk perayaan dan sambutan kemerdekaan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, istimewanya secara julung kalinya tahun ini Cabutan Siri WOW! Kasih turut memperkenalkan penghargaan bagi insan-insan bermakna dalam kehidupan antaranya sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru selain kategori baharu iaitu Silver, Gold Platinum bagi Cabutan Tahunan.

“Kategori Cabutan Siri adalah WOW! Gong Xi Ang Pow (1 Januari hingga 29 Febuari); WOW! Syoknya Raya (1 Mac hingga 30 April); WOW! Kasih (1 Mei hingga 30 Jun); WOW! Merdeka (1 Julai hingga 31 Ogos) dan WOW! Superheroes (1 September hingga 31 Oktober) termasuk Cabutan Tahunan (1 Januari hingga 31 Disember).

“Cabutan Tahunan dengan hadiah utama Kategori Silver adalah berupa kereta Proton S70 Flagship X, pemenang Kategori Gold akan menerima kereta Proton X50 Flagship dan Kategori Platinum akan membawa pulang kereta Proton X90 Flagship.

Hadiah kedua Kategori Silver akan menerima Motosikal Yamaha NVX 155cc, Kategori Gold akan membawa pulang Motosikal Yamaha XMAX 250cc dan Motosikal Yamaha MT09 akan menjadi hadiah bagi pemenang Kategori Platinum.

Pemenang tempat ketiga pula akan menerima wang tunai bernilai RM10,000 bagi Kategori Silver, RM20,000 Kategori Gold dan RM30,000 untuk Kategori Platinum.

“Manakala hadiah utama bagi Kategori Cabutan Siri adalah berupa wang tunai bernilai RM10,000 untuk seorang pemenang setiap siri dan wang tunai bernilai RM500 menanti 180 pemenang saguhati bagi setiap siri,” tambah beliau.

Selain itu, katanya, kempen kali ini turut memberi kelebihan kepada pengguna aplikasi myPTPTN yang akan mendapat bilangan cabutan berganda.

“Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus akan mendapat lima cabutan. Manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat sepuluh cabutan,” katanya.

Cabutan WOW! Simpan SSPN kali ini, diharap akan mendapat sambutan yang menggalakkan dan rebutlah peluang memenangi hadiah yang amat lumayan.

“Semoga Simpan SSPN sentiasa dekat dalam hati sanubari masyarakat Malaysia dan menjadi pilihan utama sebagai tabung pendidikan yang dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk melihat anak-anak berjaya ke puncak menara gading,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 Kategori Cabutan Tahunan yang telah berakhir pada 31 Disember tahun lalu.

Pemenang hadiah utama, kedua dan ketiga Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023
Kategori Cabutan Tahunan bergambar bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid semasa Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.Pemenang utama telah menerima wang tunai bernilai RM150,000, tempat kedua RM50,000 dan pemenang tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM10,000.

Selain daripada itu, PTPTN berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Kempen Cabutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 berupa wang tunai bernilai RM10,000 dan dua orang pemenang saguhati masing-masing menerima RM1,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast