Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Gangguan bekalan air berjadual (SWSI) susulan kerja-kerja pengalihan saluran paip Pelan B di Sungai Perai yang akan berlangsung esok bermula jam 11.30 malam dijangka mengambil masa sehingga 48 jam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja fizikal bagi Pelan B hanya akan mengambil masa 16 jam dan dijangka siap pada jam 2 petang Rabu sebelum air dapat disalurkan seperti biasa.

“Bagaimanapun, kita jangka beberapa lokasi terutama membabitkan kawasan hujung laluan (EoL) akan berdepan situasi tiada air lebih daripada tempoh masa 48 jam berdasarkan pengalaman terdahulu memandangkan ini merupakan proses kali keempat dilaksanakan.

“Kita doakan agar kerja penyambungan dapat dipendekkan daripada jadual asal iaitu 16 jam dan paip tersebut juga mampu berfungsi dengan baik kerana ia melibatkan lencongan dari paip asal 1,300 milimeter (mm) kepada dua paip 600mm.

“Sehubungan itu, kita nasihatkan 120,000 pengguna air di daerah Barat Daya yang akan terkesan menyimpan air secukupnya sebelum SWSI malam esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Taman Linear di Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pihaknya akan melaksanakan satu projek kekal untuk menggantikan sepenuhnya saluran paip bawah air 1,350mm di Sungai Perai dengan saluran paip di atas sungai.

“SWSI akan berlaku sekali lagi apabila projek kekal itu dilaksanakan nanti yang mana kita jangka antara enam hingga lapan bulan selepas Pelan B ini selesai.

“Projek kekal itu akan melibatkan empat lokasi dan kami akan mengumumkan butiran rancangan tersebut selepas ia dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, pihaknya telah bersedia untuk menggerakkan lebih 22 tangki jumbo berkapasiti 50,000 liter setiap satu selain 16 tangki fleksi berkapasiti 24,000 liter bagi sebuah tangki sepanjang tempoh gangguan air.

Pathmanathan.

“Kita masih menempatkan lori tangki di semua kawasan terjejas (daerah Barat Daya) meskipun bekalan air telah pulih sepenuhnya di semua kawasan pagi tadi.

“Langkah itu (tempatkan lori tangki) akan diteruskan sehingga semua pengguna menerima bekalan air seperti biasa selepas Pelan B selesai dilaksanakan,” katanya.

Media semalam melaporkan, PBAPP menangguhkan pelaksanaan gangguan bekalan air berjadual yang sepatutnya bermula jam 11.30 malam ini untuk tugas pengalihan saluran paip berkenaan bagi memberi lebih masa kepada pengguna yang bakal terjejas membuat persediaan menyimpan air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast