MELAKA – Bukan sahaja menggunakan rempah ratus dari Padang yang membangkitkan aromatik Jawa, bahkan juga mengimport chef khas dari Indonesia bagi menjamin kualiti rasa seberang.
Itu kelainan ditawarkan The Munch, Hotel Ames, Melaka yang menjemput orang ramai berbuka puasa sepanjang Ramadan bermula 12 Mac hingga 9 April ini.
Bertemakan Dapoer Nusantara, hotel bertaraf lima bintang itu menawarkan kepelbagaian menu istimewa menerusi lebih 200 juadah dan hidangan menarik dengan citarasa Indonesia dan Malaysia.
Pengurus Besar Hotel Ames, Jason R. Bak berkata, sebagai kelainan berbanding hotel lain, The Munch turut membawa kumpulan persembahan kebudayaan Indonesia sebagai hiburan santai dan pelengkap hidangan bermula dari pukul 6 petang hingga 10 malam.
“Pelanggan boleh menikmati pelbagai hidangan asli Indonesia oleh pasukan cef profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia termasuk menggunakan rempah ratus dari Padang.
“Dengan rasa aromatik Jawa, tentunya pelanggan dapat merasai kepelbagaian masakan asli Indonesia oleh chef yang turut bekerjasama dengan chef tempatan kami,” katanya.
Tambahnya, antara masakan Indonesia daripada lebih 200 hidangan ditawarkan adalah hirisan kambing golek lada hitam, seafood jimbaran, gulai kapau, empal gepuk, makanan khas Sunda, Jawa Barat dan aneka air, piza serta kuih muih.
“Apa yang lebih menarik, bermula sekarang hingga 11 Mac ini, setiap pengunjung boleh mendapatkan harga early bird pada hanya RM108 (dewasa) dan RM88 (kanak-kanak/warga emas).
“Selepas tarikh itu, harga bagi setiap bufet dewasa adalah RM118 (12 Mac- 18 Mac) dan RM138 (19 Mac- 9 April) manakala kanak-kanak atau warga emas RM98 (12 Mac – 9 April),” katanya.
Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh hubungi 012-6982957. – MalaysiaGazette