Program Al-Falah yang akan dianjurkan tahun ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah berupa pakej umrah dan wang tunai untuk dimenangi oleh para pendepositnya melalui pelbagai program menarik yang akan dianjurkan sepanjang tahun ini.

Menerusi satu kenyataan, Tabung Haji berkata, inisiatif tersebut diadakan bagi menghargai kesetiaan pendepositnya yang telah lama menyimpan di TH.

“Peluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan merupakan nilai tambah bagi para pendeposit, selain daripada manfaat simpanan yang patuh syariah, penunaian zakat dan jaminan kerajaan.

“Pendeposit berpeluang untuk menjadi pemenang bertuah melalui lima program utama iaitu Al-Falah, Carum & Simpan, Bijaknya Menabung, “Terpaling” Sayang dan Auto Simpan@THiJARI,” katanya, hari ini.

Menurutnya, bagi program Al-Falah, Bijaknya Menabung dan Carum & Simpan, pendeposit hanya perlu menambah simpanan di akaun Tabung Haji tanpa melakukan transaksi pengeluaran untuk penyertaan.

Katanya, program Al-Falah tersebut terbuka kepada semua pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dengan tambahan simpanan serendah RM100.

Mengulas lanjut, pemenang akan dipilih melalui empat siri cabutan sukuan dan dua siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM300,000.

Katanya lagi, dengan caruman bulanan serendah RM100 sebulan, pendeposit berpeluang menyertai program Carum & Simpan yang menawarkan pakej umrah dan pelbagai hadiah lumayan.

“Program Bijaknya Menabung, yang dirangka khusus untuk para pendeposit muda berumur 17 tahun ke bawah, memberikan peluang untuk mereka memenangi pelbagai hadiah menarik dan juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai tabungan haji dalam kalangan ibu bapa.

”Terdapat juga program “Terpaling” Sayang yang akan memilih pemenang bertuah setiap sukuan daripada kalangan pendeposit yang mendaftar TH Khairat.

”Manakala, program Auto Simpan@THiJARI pula terbuka kepada semua pendeposit yang membuat transaksi pindahan simpanan ke akaun TH secara dalam talian,” ujarnya.

Sementara itu, TH turut melaksanakan program Kelab TaHa yang akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Musabaqah Kelab TaHa dan kejohanan Futsal TaHa Bestari kepada pelajar sekolah dengan menawarkan hadiah lumayan RM1,000 kepada johan bagi setiap pertandingan tersebut. – MalaysiaGazette