JOHOR BAHRU – Tiga lelaki tempatan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 48.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi dekat Kota Tinggi, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Hussin Zamora berkata, dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, pihaknya menerima maklumat berkenaan satu kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Gen-2.
“Mereka yang maut adalah pemandu kereta Gen-2 berusia 46 tahun manakala dua mangsa maut berusia 22 dan 28 tahun menaiki kereta Myvi dan ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan namun kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut dipercayai dari Kota Tinggi menghala ke Bandar Penawar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat kesemua mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan. – Bernama