YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan diingati sebagai seorang raja yang sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan rakyat termasuk dalam pengampunan banduan.
Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, pengalaman sebagai Ahli Panel Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah memperlihatkan secara dekat Yang di-Pertuan Agong itu tidak menggunakan kuasanya secara mutlak walaupun baginda berhak berbuat demikian.
“Saya secara peribadi ada pengalaman dengan baginda, saya salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan. Selama enam tahun bermula 2016 hingga 2022. Baginda mengambil alih pemerintahan negara pada 2019. Saya sempat bermesyuarat dan dipengerusi oleh baginda.
“Kami amat selesa dalam mesyuarat itu. Kita tak ada rasa tegang kerana perwatakan Al-Sultan Abdullah yang sentiasa tersenyum dan selalu meminta nasihat daripada kami untuk baginda buat keputusan yang bijaksana.
“Maknanya pengampunan itu 100 peratus di tangan baginda, namun baginda masih meminta pandangan setiap ahli, pada hal baginda tidak perlu pun,” kata Kok Seong.
Lembaga Pengampunan terdiri daripada lima ahli, iaitu peguam negara, ketua menteri atau menteri besar, dan maksimum tiga ahli lain yang dilantik oleh Agong atau pemerintah negeri.
Walaupun ahlinya tidak ditetapkan secara khusus, Perkara 42(7) Perlembagaan menetapkan bahawa ahli Parlimen atau wakil rakyat tidak dibenarkan menganggotai lembaga itu.
Ahli yang dilantik hanya boleh berkhidmat selama tiga tahun, walaupun mereka boleh dilantik semula ke oleh Agong atau pemerintah negeri. Ahli lembaga akan bertemu untuk membincangkan permohonan pengampunan oleh banduan.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, Al-Sultan Abdullah juga mengenali secara dekat mereka yang bekerja dengan baginda.
“Secara peribadi saya terkejut juga bila baginda selepas mesyuarat beberapa kali, ada satu hari ketika minum Tuanku bercakap kepada saya, baginda sebut dua perkara ‘bahasa Malaysia prof baguslah’ dan ‘selalu keluar dalam surat khabar dan televisyen’.
“Saya pun terkejut. Saya jawab ya. Jawapan saya tak penting, (apa yang mengharukan) baginda tahu apa yang saya lakukan, sama ada diberitahu oleh orang istana atau baginda sendiri yang melihat berita. Di situ memperlihatkan Al-Sultan Abdullah sangat-sangat berjiwa rakyat,” kata Kok Seong.
Menurutnya, pemerintahan lima tahun baginda akan sangat dirindui oleh rakyat untuk tempoh yang sangat lama.
Ini kerana sifat istimewa Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga diraja yang sangat berjiwa rakyat, mesra, tidak sombong dan sentiasa ‘cool‘.
Baginda berdua pada kebanyakan waktu mengetepikan protokol diraja semata-mata kerana mahu berada lebih dekat dengan rakyat.
Malah sifat pasangan diraja itu yang suka bergurau menjadikan rakyat tidak kekok untuk berada berhampiran dengan baginda berdua.
“Kita rakyat jelata boleh melihat dalam video dan sebagainya bagaimana baginda singgah di tepi jalan, makan di warung dan boleh bergurau dengan rakyat. Rakyat pun berani bergurau balik.
“Kita orang kecil takkan berani mula bergurau dengan orang yang lebih tinggi statusnya. Tetapi kalau orang yang lebih tinggi statusnya boleh mulakan gurauan itu maka kita pun berani bergurau. Kita pun tengok rata-rata rakyat tahu batasnya. Mula bergurau dengan baginda.
“Dalam menjalankan tugas rasmi dengan pakaian seragam askar baginda boleh berhenti untuk membantu mangsa kemalangan. Kita dapat melihat bagaimana raja permaisuri pada satu video cuba menenangkan mangsa. Gosok-gosok bahu dan peluk. Maknanya tidak ada protokol,” katanya.
Sarjana bahasa itu berkata, bahasa tubuh baginda dari segi pergerakan, cara duduk, berjalan dan berkomunikasi dengan rakyat memperlihatkan Al-Sultan Abdullah sebagai seorang yang tenang.
Melalui sifat tenang itu baginda berjaya mengharungi dan menyelamatkan negara pada zaman ‘politik mengila’ yang memperlihatkan perdana menteri meletakkan jawatan, perdana menteri tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen serta parlimen tergantung yang menyebabkan kerajaan tidak dapat ditubuhkan.
Sifat dan tindakan bijaksana baginda juga menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19 yang bukan sahaja mengancam nyawa tetapi juga ekonomi.
“Bila berlaku kemelut politik yang amat dahsyat itu, kita dapat lihat baginda sebagai ketua negara memperlihatkan sifat sabar.
“Makna kalau ketua negara pun gelabah dan panik itu akan memburukkan lagi keadaan. Baginda bagi saya tidak berpura-pura pun. Itu sifat baginda seorang yang tenang tetapi tegas.
“Pewatakan baginda mungkin tidak ada dalam perwatakan raja-raja lain. Sebab itu pemerintahan baginda akan dirindui untuk satu tempoh lama,” katanya.- MalaysiaGazette