Orang ramai berkumpul di sepanjang bahu jalan sekitar kompleks Teruntum bagi menyambut Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena tamat tempoh pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika di Kuantan, Pahang. Foto WAN NABIL NASIR, 30 JANUARI 2024.

KUANTAN – Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut rakyat jelata dengan perasaan penuh emosi di Jalan Mahkota, di sini, hari ini.

Ketibaan Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah jam 1.15 petang tadi diiringi kereta dan motosikal polis pengiring.

Menariknya keberangkatan balik Seri Paduka Baginda di Jalan Mahkota, di sini, diiringi sepasukan 16 kuda dari Kelab Polo Diraja Pahang yang lengkap beruniform dan peralatan sukan kuda itu.

Sebaik sahaja baginda berdua tiba di Jalan Mahkota, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Aminah Maimunah terus membuka tingkap kenderaan rasmi Istana Pahang dan melambai ke arah rakyat jelata di kiri dan kanan bahu jalan.

Laungan “Daulat Tuanku” mula berkumandang sebaik sahaja Seri Paduka Baginda melemparkan senyuman ke arah orang ramai yang menunggu di bahu jalan seawal jam 10 pagi tadi.

Orang ramai berkumpul di sepanjang bahu jalan sekitar kompleks Teruntum bagi menyambut Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena tamat tempoh pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika di Kuantan, Pahang. Foto WAN NABIL NASIR, 30 JANUARI 2024.

Tinjauan MalaysiaGazette sepanjang istiadat itu, orang ramai termasuk penjawat awam, orang awam dan mahasiswa berbaris panjang lebih 4 kilometer (km) sepanjang Jalan Mahkota.

Sebelum Seri Paduka Baginda meneruskan perarakan itu, Al-Sultan Abdullah sempat turun dari kenderaan dan berkenan melawat sebuah kedai peralatan sukan di sini, kira-kira 5 minit.

Sebaik sahaja rombongan Diraja itu sampai di Pejabat Pos Besar di sini, baginda kemudiannya menuju ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah diiringi sepasukan dua gajah didatangkan khas dari Gua Musang, Kelantan dan Sungai Siput, Perak.

Dua gajah masing-masing bernama Alam, 26 dan Sanum, 19, ditunggangi dua hulubalang sambil membawa peralatan tradisional seperti gendang, tombak, bunga emas dan replika pohon beringin.

Baginda berdua kemudiannya menuju ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah bagi menghadiri Majlis Santapan Diraja sebelum Seri Paduka bersemayam di Istana Abdul Aziz, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast