Paul Yong Choo Kiong rape Indonesian maid
Paul Yong Choo Kiong.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 1 Mac depan bagi tarikh keputusan petisyen rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, bagi mengetepikan sabitan atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia.

Tarikh keputusan itu ditetapkan selepas mendengar petisyen yang diketuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk S M Komathy.

Pada 5 Disember lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Choo Kiong untuk memasukkan tiga alasan tambahan dalam petisyen rayuan bagi mengetepikan sabitan atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya itu.

Antara alasan petisyen rayuan ialah beliau dinafikan perbicaraan yang adil kerana Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah yang digunakan Mahkamah Tinggi tidak berperlembagaan dan prosidingnya melanggar keadilan semula jadi yang menyebabkan berlaku kesilapan.

Pada 27 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman terhadap Choo Kiong ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Choo Kiong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan difikirkan kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast