Foto BERNAMA

SEPANG – Suasana hiba menyelubungi Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melangkah ke pesawat yang akan membawa baginda berdua kembali ke Pahang.

Perasaan syahdu jelas tergambar di wajah mereka yang hadir, tidak kurang juga yang gigih berusaha merakamkan momen keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah memberikan khidmat cemerlang kepada negara.

Terdahulu, pasangan diraja itu yang tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya pada 10.20 pagi disambut oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut sama menyambut ketibaan Seri Paduka ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan bergambar dengan dua ekor gajah, Myan Thon Pian dan Rambai yang mengepalai perarakan menyambut ketibaan Seri Paduka di KLIA selain bersama Pasukan Istiadat berkuda yang turut menyertai perarakan berkenaan.

Seri Paduka berdua kemudiannya bersalaman dengan hadirin yang berada di Kompleks Bunga Raya, sesekali Tunku Azizah dilihat menyeka air mata.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan berada di atas pentas Diraja bagi menyaksikan persembahan “Lambaian Kasih” oleh peserta perarakan pelbagai kaum yang menampilkan persembahan tarian, diiringi lagu “Daulat Tuanku”.

Rata-rata tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu saat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang berdiri di hadapan pintu pesawat khas, melambai ke arah hadirin dan kenamaan sambil memberi isyarat mini love dan flying kiss sebelum pintu pesawat ditutup bagi membawa pasangan diraja itu ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan, Pahang.

Pada masa sama, laungan “Daulat Tuanku” turut bergema sebanyak tiga kali bagi mengiringi lambaian akhir kedua-dua Seri Paduka selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka diterbangkan oleh Kapten Ahmad Najhan Mohd Jamil berlepas pada 11.16 pagi, diiringi dua pesawat pejuang F/A-18D Hornet TUDM yang dikemudi oleh Mejar Saifirudin Bahari dan Mejar Mohammad Afendie Mohammad Idir.

— BERNAMA