KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan untuk mendaftarkan sehingga 10 pemain import bagi musim 2024/2025.
Bagaimanapun menurut MFL, syarat itu hanya terpakai untuk pasukan yang akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan pertandingan kelab Asean (AFF) sahaja.
Jelas MFL lagi, atas permintaan dari beberapa pasukan untuk menambah kuota seorang pemain import di atas padang, pihaknya turut bersetuju ia digunakan untuk musim 2024-2025.
“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.
“Walaupun MFL menerima permintaan kelab Liga M, semua kelab diingatkan agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing,” kata MFL dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu juga, MFL mengesahkan kuota sembilan import dalam pendaftaran Liga M masih dikekalkan bagi musim 2024/25 dan ‘keistimewaan’ membabitkan tambahan satu pemain import hanya bagi pasukan yang beraksi di pertandingan luar negara.
Untuk rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super akan beraksi di ACLE sementara Selangor FC (SFC) akan berentap di ACL2 sebagai naib juara Liga Super.
Bagi pertandingan kelab Asean (AFF), MFL menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan pasukan di tangga ketiga dan keempat di Liga Super musim lalu iaitu Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC akan bersaing dalam pertandingan berkenaan.
Dalam kenyataan sama, MFL turut mengumumkan hanya pusingan 16 Piala FA kekal dimainkan secara pusingan satu perlawanan manakala pusingan suku akhir dan separuh akhir Piala FA akan ditukar format dengan dimainkan secara timbal balik.
Pertandingan Piala FA 2024-2025 bakal membabitkan penyertaan kelab Liga Super 2023 dan dua kelab M3 yang akan dipilih Liga Bolasepak Amatur (AFL). – MalaysiaGazette