PEMERINTAHAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi isyarat dan mempamerkan bahawa institusi diraja bukan sahaja gemilang pada zaman lampau tetapi juga akan terus gemilang pada masa akan datang.
Bekas penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, pemerintahan Al-Sultan Abdullah telah memberi panduan bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga terhadap pemain politik dan pemimpin demokrasi.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mendepani pelbagai ujian dan cabaran sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan dari kemelut politik yang tidak berkesudahan hinggalah pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat baginda.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan itu berkata, ujian dan cabaran yang berjaya diatasi dengan penuh hikmah oleh Al-Sultan Abdullah membuktikan instutusi diraja pelindung rakyat dan telah menzahirkan amalan undang-undang kepada realiti.
“Penampilan baginda kepada setengah-setengah peruntukan Perlembangaan seperti bagaimana hendak menentukan kepercayaan kepada seseorang untuk dilantik sebagai sebagai perdana menteri, ketika bagaimana baginda telah mentafsir undang-undang bagi hal berkaitan dengan hilangnya kepercayaan dari segi majoriti.
“Begitu juga bagaimana baginda menterjemahkan keadaan yang mengancam keselamatan dan ancaman besar kepada negara, ketika baginda mahu mengisytiharkan darurat dalam negara akibat pandemik.
“Ini adalah perkara penting di mana baginda berjaya menurunkan suhu politik yang begitu tinggi dan menyebabkan ketidakstabilan politik,” kata beliau.
Katanya, Perlembagaan telah meletakkan cara dan penyelesaian terhadap segala masalah dan Al-Sultan Abdullah telah secara bijaksana menggunakan segala peruntukan yang ada ke alam realitik untuk dilaksanakan ketika mendepani segala ujian dan masalah negara.
Pemerintahan Al-Sultan Abdullah mendepani isu peletakan jawatan perdana menteri selain perdana menteri yang dilantik hilang kepercayaan anggota Parlimen dan pada masa sama pandemik Covid-19 merebak yang mengancam nyawa dan ekonomi.
Selain itu pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut menyaksikan Parlimen tergantung kerana parti yang bertanding tidak memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan dan berjaya diatasi dengan titah nasihat baginda mewujudkan kerajaan perpaduan.
Shamrahayu berkata, Al-Sultan Abdullah boleh sahaja meninggalkan segala bebanan itu dengan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong namun baginda tidak berbuat demikian kerana memikirkan nasib rakyat.
“Kita lihat titah baginda yang terakhir pada jamuan negara, kita memerhati baginda ini adalah satu susuk yang suci hatinya kepada rakyat.
“Di sini kita nampak tiada yang lebih penting bagi seorang raja selain daripada kesejahteraan rakyatnya. Betapa derita rakyat begitulah sepatutnya derita seorang raja.
“Raja diberikan kedudukan yang sangat mulia untuk baginda menjalankan amanah itu. Ia bukan sahaja, kalau kita lihat hubungan Yang di-Pertuan Agong dan mereka yang berada dalam politik itu, (diberikan) nasihat demi nasihat melalui titah baginda,” jelas beliau.
Katanya, ketika pemerintahan Al-Sultan Abdullah, rakyat di seluruh negara merasai nikmat seperti apa yang dilalui oleh rakyat Pahang yang dipayungi baginda selama ini.
Al-Sultan Abdullah bukan sahaja disayangi rakyat kerana kebijaksanaan baginda menyelesaikan masalah negara tetapi juga penampilan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan keluarga diraja yang begitu disenangi.
Baginda dan keluarga telah tampil dan menzahirkan kerelevanan institusi diraja pada mata dan hati rakyat.
“Kembara Kenali Borneo menyaksikan bagaimana rakyat begitu teruja, dan baginda berdua menitiskan air mata dalam jelajah itu kerana baginda terharu dengan sambutan orang ramai. Ini menunjukkan bagaimana dekatnya baginda, instiusi beraja dengan rakyat.
“Bukan sahaja baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tetapi juga disertai ahli keluarga. Pada saya mungkin perkara sebegini boleh menepis tohmahan tertentu bukan sahaja kepada sultan tetapi juga keluarga diraja.
“Seorang raja itu disokong dan didukung oleh keluarganya. Jadi apabila keluarganya dekat dengan rakyat ini boleh membentuk satu fahaman kepada rakyat bahawa raja ini mengambil berat, meletakkan peri penting rakyat itu dalam amanah yang baginda galas sebagai ketua negara,” kata beliau.
Katanya, Al-Sultan Abdullah telah mempamerkan Malaysia mempunyai raja yang telah berusaha secara bersungguh-sungguh menstabilkan negara dan pemerintah yang menyatu padukan rakyat.- MalaysiaGazette