Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan setiap pasukan perlu bijak untuk membentuk pasukan dengan kelebihan enam pemain import yang dibenarkan berada di atas padang selain turut tidak mengabaikan potensi pemain tempatan.

Setelah permintaan pasukan untuk menambah slot pemain asing atas padang diterima MFL, Kim Swee juga berkata, baginya selaku jurulatih, amat penting untuk beliau menilai keperluan pasukan masing-masing dalam memilih kesebelasan terbaik tidak kira pemain import atau pun tempatan.

“Sudah tentu apabila enam pemain import dibenarkan di atas padang, selebihnya adalah untuk pemain tempatan dan saya perlu tahu apa yang terbaik untuk kelab saya.

“Saya juga perlu memikirkan solusi terbaik untuk membentuk kesebelasan utama sebab saya turut ingin melihat pemain-pemain tempatan beraksi,” jelasnya.

Terdahulu, MFL mengekalkan kuota sembilan  pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

Ini menyaksikan kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang lagi pemain import di bangku simpanan. – MalaysiaGazette