Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KUALA LUMPUR – Genap lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berlangsung hari ini bagi menjunjung kasih tanda penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas jasa dan pengorbanan Seri Paduka berdua.

Istiadat khas itu dijangka berlangsung ringkas, namun penuh simbolik dengan adat istiadat Melayu yang melambangkan keunikan institusi diraja di negara ini.

Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019, dan Tunku Azizah akan berangkat meninggalkan Istana Negara kira-kira 8 pagi diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Berdasarkan Aturcara Pentadbiran, Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan membabitkan beberapa lokasi termasuk Istana Negara, Dataran Parlimen dan beberapa laluan utama di sekitar ibu negara sebelum ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menaiki pesawat pulang ke Pahang.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan 2019.

Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast