KUANTAN – Ribuan rakyat Pahang teruja menyambut kepulangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sejak awal pagi tadi.
Salah seorang daripada mereka, Jaariah Ahmad, 67, sanggup berjalan kaki kira-kira 500 meter masuk ke Pangkalan Udara (PU) di sini bagi menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka baginda berdua sejak pukul 9 pagi lagi.
“Saya datang sini bawa cucu, sebab dia nak sangat tengok Agong dari dekat. Alhamdulillah walaupun kena berjalan jauh, tercapai juga hajat cucu saya ni. Sebab sudah beberapa hari ni dia (cucu) memang cakap nak tengok tuanku,” katanya.
Jaariah yang hadir bersama anaknya Nurul Khamilah Md Rashid, 31 dan cucu, Nurul Auni Batrisyia Mohd Sahiful, 10.
Selain itu, seramai 40 orang murid Tahun Enam dan empat guru pengiring dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Indera Mahkota turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah itu.
Guru pengiring mereka, M. Thiagaselan, 48, berkata, kesemua murid yang terlibat hari ini rasa teruja kerana ini pertama kali mereka hadir ke majlis diraja seumpama itu.
“Dari semalam lagi murid-murid saya sangat teruja untuk hadir ke Majlis Keberangkatan balik Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.
“Walaupun panas, mereka sanggup tunggu semata-mata nak melihat sendiri kepulangan tuanku kita,” katanya.
Tambah guru disiplin itu, anak muridnya juga boleh memupuk semangat setia kepada negara dan raja seperti yang dipelajari menerusi mata pelajaran sejarah di sekolah mereka.
“Mungkin hari ini juga pertama kali anak-anak murid saya laungkan ‘Daulat Tuanku’,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette