KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terharu apabila kepulangan ke Pahang bagaikan ketika sambutan perkahwinan baginda berdua pada 1986.
Baginda bertitah, kehadiran rakyat jelata yang menunggu di bahu jalan menunggu kepulangan baginda berdua yang diarak menaiki kenderaan seolah-olah mengimbas semula kenangan lama.
“Ketika saya dan Permaisuri berada dalam kereta, tengok ramai sangat orang menunggu, dia (Permaisuri) flashback balik kepada saya, dia kata macam kita kahwin dulu, tahun 1986.
“Alhamdulillah dan saya pun rasa macam pengantin juga hari ini. Pengantin tua,” titah baginda selepas Majlis Santapan Diraja dalam Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh YDPA ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Turut mengiringi baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda berdua, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah ketika bertitah turut menzahirkan rasa bangga kerana dapat melunaskan tanggungjawab dan amanah sebagai YDPA ke-16.
“Setelah saya ambil flight dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ke Kuantan, saya sampai di TUDM dengan perasaan yang cukup-cukup terharu.
“Ada juga (perasaan) yang macam tak percaya, iya ke, ini hari terakhir jadi Agong. Ini pun pakai baju ini (muskat) buat kali terakhir, saya rasa bangga,” titah Seri Paduka.
Baginda turut berharap Menteri Besar dan rakyat Pahang berasa berbangga kerana Seri Paduka telah melunaskan tanggungjawab dan amanah yang terbaik kepada negara dan rakyat.
“Mungkin ada sebilangan kecil yang tidak bersetuju dengan pelbagai keputusan yang saya buat namun majoritinya bersama dengan keputusan yang saya buat,” titah baginda.
Baginda turut berkongsi rasa sukacita dengan lambaian kasih yang diberikan kepada Seri Paduka daripada rakyat jelata dari Istana Negara hingga ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
“Selepas saya, Permaisuri dan anakanda-anakanda saya bertolak daripada Istana Negara, sambutan keberangkatan pulang bagi saya adalah satu hari yang cukup diingati.
“Terima kasih kepada mereka yang menunggu dan memberi lambaian kepada kami berdua,” titah baginda. – MalaysiaGazette