Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kedah telah mengarahkan supaya satu laporan mengenai audio perbualan yang dipercayai antara warga asing dan anggota polis yang disyaki menawarkan saman sebanyak RM100 tanpa resit dilakukan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya mendapati satu rakaman video berdurasi 1 minit 44 saat yang memaparkan seorang lelaki dan seorang perempuan warga asing bermotosikal ditahan penguatkuasa disyaki anggota polis atas kesalahan lalu lintas iaitu tidak memakai topi keledar di Pulau Langkawi telah viral pada Isnin lalu.

“Dalam rakaman tersebut terdapat audio perbualan antara warga asing dan penguatkuasa di mana warga asing tersebut telah ditawarkan untuk membawar saman sebanyak RM100 tanpa resit di tempat ditahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya mendapati video yang tular di media sosial sejak semalam telah dimuat naik di YouTube pada 10 November lalu.

Menurut Fisol, siasatan kes itu akan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, polis kini giat mengesan saksi-saksi yang terlibat bagi membantu siasatan dan suspek akan dikenal pasti untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette.