KUALA LUMPUR – Seorang pemilik butik pengantin di Raub, Pahang yang menawarkan khidmat perancang perkahwinan dijatuhkan hukuman penjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menipu pelanggannya yang juga bakal pengantin melibatkan kerugian RM9,000 tahun lepas.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasmerun Hashim, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, Hasmerun didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang berjumlah RM9,000 secara berperingkat sebanyak dua kali transaksi ke akaun CIMB atas nama Arjuna Cinta Wedding milik tertuduh dalam urusan untuk mendapatkan khidmat perancang perkahwinan.
Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan di sebuah kediaman di Taman Shamelin Perkasa, Cheras pada 23 Ogos dan 25 Ogos 2023, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda.
Hasmerun, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman minimum atas alasan dia menanggung ibu bapa yang sakit, adik yang bersekolah dan anak saudara.
Timbalan Pendakwa, Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain memaklumkan tidak ada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah tidak mengenakan hukuman sebatan. – Bernama