Abd Zarin Mohd Yasin

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen kerana melakukan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin menerusi Facebook miliknya empat tahun lalu.

Abd Zarin, 72, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau yang juga blogge dengan nama pena ‘Sang Kelembai’ didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Facebook dengan menggunakan Facebook “Zaharin Mohamad Yasin”.

Abd Zarin yang didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.03 pagi 21 Disember 2020.

Hantaran itu telah dibaca di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, pada 3 petang, 22 Disember 2020 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya selain boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal yang mengendalikan pendakwaan kes mencadangkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan OKS dilarang membuat sebarang hantaran sepanjang kes berlangsung.

Bagaimanapun Peguam Datuk Abu Bakar Isa Samat yang mewakili Abd Zarin merayu mahkamah agar memberikan nilai jaminan yang rendah kerana anak guamnya merupakan pesara syarikat swasta dan pernah bekerja sebagai pengamal media serta mempunyai penyakit kencing manis yang kronik dan darah tinggi.

“Yang Arif, OKS mempunyai empat anak dengan seorang daripadanya masih belajar di universiti sudah tidak bekerja manakala isterinya merupakan suri rumah akan menjadi penjamin dan menggunakan duit simpanan untuk membayar jaminan,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Priscilla membenarkan Abd. Zarin diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.-MalaysiaGazette