Dua beradik maut dalam kejadian kemalangan berhampiran Felda AIr Tawar 3, Kota TInggi pagi tadi.

KOTA TINGGI – Dua beradik maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kota Tinggi ke Penawar berhampiran Felda Air Tawar 3 di sini pagi tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Mohamad Syahriel Aiman Darwis, 22, dan kakaknya, Nurul Saidatul Akmar, 36, yang menaiki kereta Proton Wira.

Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kota Tinggi ke Penawar berhampiran Felda Air Tawar 3 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB ) Mohd. Shawaluddin Ami Nordin berkata, dalam kejadian itu dua lagi penumpang yang menaiki kenderaan sama Rukiah Mohd. Alwee, 61, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mengalami cedera parah.

“Seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada pukul 10.33 pagi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd. Shawaluddin berkata, setibanya pasukan di tempat kejadian mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Hilux dan Proton Wira.

“Kemalangan melibatkan lima mangsa. Dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, dua mangsa cedera parah dan satu lagi mangsa cedera ringan.

“Tindakan operasi mengeluarkan dua mangsa tersepit di bahagian hadapan kereta jenis Proton Wira dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis manakala mangsa cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette