Pemandu bas kilang diperiksa dalam Ops Bersepadu Bas Pekerja di Butterworth, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu bas kilang di sini bukan sahaja berani memandu kenderaan tanpa cukai jalan sejak empat tahun lalu malah tidak mempedulikan risiko serta nyawa penumpang dibawanya sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, tindakan ‘kebal’ pemandu lelaki itu akhirnya membawa padah selepas kenderaan tersebut disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Bersepadu Bas Pekerja.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, bas kilang itu antara lapan buah bas pekerja yang disita pihaknya atas pelbagai kesalahan.

Zulkifly.

Jelas beliau, tindakan membawa penumpang tanpa memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) mengundang risiko susulan mereka tidak dilindungi insurans termasuk membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Berdasarkan situasi itu, saya mendapati operator bas-bas pekerja ini cuba mengaut keuntungan yang lebih tanpa memikirkan kebajikan serta keselamatan penumpang.

“Mereka sanggup merisikokan nyawa penumpang daripada mengeluarkan wang bagi pembayaran LKM, insurans serta pemeriksaan Puspakom,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, sebanyak 224 kenderaan pekerjaan diperiksa dalam operasi itu dan 24 daripada diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada lesen kompeten (CDL), tiada lesen vokasional (PSV), cukai jalan tamat tempoh serta tiada pelindungan insurans.

Selain itu, empat pemandu turut dikesan positif oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi sama. – MalaysiaGazette