Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah TASKA berdekatan tempat kejadian sekitar pukul 2 petang.

Polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pukul 8.01 malam.

“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada pukul 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, bedah siasat sudah dijalankan petang semalam dengan keputusan pending laboratory investigations.

Hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mah upun dalaman pada kanak-kanak itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996. – MalaysiaGazette