Neymar (kiri). Foto Goal.com.

LONDON – Bekas ketua pasukan kebangsaan Brazil, Neymar membidas pihak yang memanggil pemain itu sebagai gemuk selepas tular gambar terkininya di media sosial baru-baru ini.

Neymar ketika ini sedang menjalani proses pemulihan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligaments (ACL) yang dialami ketika tugasan antarabangsa bersama Brazil.

Namun penampilan terkini bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain itu mencuri perhatian selepas dia hadir ke parti hari jadi salah seorang legenda Brazil, Romario dan gambar terkini yang menunjukkan dirnya berada dalam keadaan overweight tular di laman media sosial.

Ramai peminat mula mempersendakan pemain itu kerana tidak menjaga berat badan malah ada peminat yang menulis karier Neymar sudah tamat kerana keadaan semasa fizikalnya.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak berdiam diri apabila dia kemudiannya memuat naik video di laman media sosial Instagram dan memberi respon terhadap hinaan dan kritikan yang dilontarkan kepadanya.

“Selesai berlatih hari ini. Berat badan saya adalah satu perkara yang indah. Gemuk? Saya rasa tidak!” katanya.

 

Neymar mengakhiri video yang dimuat naik dengan menunjukkan jari tengah dan memberitahu agar pembencinya untuk menerima keadaannya.

Baru-baru ini, Al-Hilal dilaporkan mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Neymar dalam skuad yang menghadapi saingan musim 2023/2024.

Berita itu dikongsi oleh wartawa sukan Arab Saudi di mana sebab utama mengapa kelab itu menamatkan kontrak Neymar adalah kerana mereka baru menandatangani seorang pemain Brazil iaitu Renan Lodi.

Al-Hilal menandatangani Lodi dari Olympique Marseille dengan harga €23 juta sekaligus menjadikan perbelanjaan kelab itu mencecah angka €376 juta musim ini selepas mendapatkan beberapa pemain bintang lain seperti Rúben Neves, Kalidou Koulibaly, Yassine Bonou dan Aleksandar Mitrovic.

Kelab bimbingan Jorge Jesus itu perlu membuang satu nama pemain asing dari skuad mereka bagi memberi laluan kepada Lodi didaftarkan dan membolehkan dia untuk beraksi dalam saingan liga.

Al-Hilal kemudiannya memutuskan untuk menamatkan kontrak Neymar di mana pemain itu akan didaftarkan semula pada musim hadapan selepas beliau pulih sepenuhnya dari kecederaan. – Agensi