PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan akan bergerak seiring dengan pembangunan sosial dan ekonomi penduduknya.
Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pelbagai elemen diambil kira dalam memastikan perkara tersebut termasuk aspek keselamatan, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan, persekitaran hijau, komuniti yang inklusif, perancangan dan pengurusan tanah yang mampan.
Tambah beliau, ia termasuklah juga aspek pengukuhan tadbir urus bandar.
“Seiring dengan hasrat yang dizahirkan oleh Kerajaan pada hari ini melalui agenda Malaysia Madani, pembangunan Wilayah Persekutuan menitikberatkan nilai-nilai manusiawi dalam penggubalan dasar.
“Ini merangkumi usaha pemerkasaan ekonomi warga, terutama golongan miskin tegar dan miskin, pembinaan rumah mampu milik Residensi Madani serta pemerkasaan penjaja dan peniaga kecil melalui usaha menaik taraf fasiliti gerai-gerai,” katanya ketika berucap di Mahlis Perasmian Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya di sini hari ini.
Tambah Dr Zaliha, Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi sentiasa memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan turut mengambil kira impak ke atas kesejahteraan dan keselesaanBkehidupan rakyat.
Terdahulu beliau berkata, sebagai sebuah bandar raya metropolitan terbesar di Malaysia, Kuala Lumpur merupakan ibu negara yang menjadi penanda aras bagi prestasi kemajuan ekonomi Malaysia.
Selain menjadi pusat perniagaan dan ekonomi negara, ibu negara juga berada di tangga ke tujuh tertinggi berbanding negeri-negeri di Malaysia dari segi jumlah penduduknya.
“Melalui data Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk yang menetap di Kuala Lumpur adalah dianggarkan seramai 1.9 juta penduduk manakala Putrajaya seramai 109,202 orang penduduk diikuti Labuan seramai 95,120 orang,” katanya.
Katanya, selain Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan Labuan juga adalah antara wilayah yang mempunyai peranannya yang tersendiri apabila telah menyumbang sebanyak RM 1 bilion kepda pendapatan negara pada setiap tahun dan penyumbang keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kedua tertinggi di Malaysia.
Manakala Putrajaya pula adalah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, kerajaan akan menjadikan pencapaian dan kemajuan pesat yang telah dikecapi oleh Wilayah Persekutuan selama lima dekad pertama sebagai inspirasi untuk meningkatkankan pembangunannya selaras dengan tema ‘Wilayah Madani, Rakyat Harmoni’.- MalaysiaGazette