Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas pemilik syarikat kerana menggunakan dan mengemukakan tuntutan  butir matan palsu kepada sebuah yayasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas pemilik syarikat kerana menggunakan dan mengemukakan tuntutan  butir matan palsu kepada sebuah yayasan.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia sekitar 50-an telah telah ditangkap di sebuah daerah di Johor sekitar pukul 4 petang semalam.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek yang kini bekerja sebagai pengimpal telah melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2022 di mana syarikat milik beliau telah dilantik sebagai rakan strategik kepada yayasan tersebut bagi membekalkan pakej perniagaan produk dan perkhidmatan bagi skim pembiayaan.

Suspek dikatakan menggunakan dan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kepada yayasan tersebut iaitu invois-invois pembekalan produk kepada peserta yang berdaftar di bawah skim pembiayaan berjumlah sekitar RM1.2 juta sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Sekyen 18 Akta SPRM 2009. Pihak SPRM akan membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam esok pada pukul 9 pagi. – MalaysiaGazette