KUALA LUMPUR – Seorang wartawan daripada China ditipu di Genting Highlands sebelum dipukul dan dikurung di Kajang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaini Hassan, pada 2 Januari lalu pihaknya telah menerima aduan daripada mangsa.
Menurut pengadu pada 11 Disember 2023, dia telah didatangi oleh tiga lelaki yang menawarkannya untuk bermain di kasino VIP di pusat peranginan di Genting Highlands.
“Lelaki tersebut menawarkan kepada pengadu untuk mengambil chip tunai bernilai RM100,000 dan pengadu setuju untuk bermain.
“Seterusnya setelah pengadu mengalami kekalahan, pihak peminjam meminta pengadu untuk membayar semula hampir RM200,000 dan pengadu telah membayarnya melalui traksaksi online bank dari China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas itu, menurut Mohd Zaini, pengadu diminta untuk memindahkan RM150,000 lagi tetapi pengadu enggan kerana mengesyaki dirinya telah ditipu dan diperdaya.
Pada 31 Disember 2023, pengadu dijemput suspek untuk pergi makan malam tetapi dibawa ke satu kebun durian tidak jauh perjalanan dari Genting Highlands.
Pengadu mendakwa barangan peribadinya dirampas selain turut dipukul oleh suspek.
“Kemudiannya pengadu terus dibawa ke kawasan salah sebuah taman perumahan diKajang seterusnya dikurung, diikat dan dipukul oleh beberapa lelaki tidak dikenali dalam pondok pengawal keselamatan berhampiran,” ujarnya.
Pada 2 Januari lalu, pengadu dapat melepaskan diri dan terus dibantu orang awam membawanya ke Balai Polis Kajang untuk buat laporan.
Ekoran itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 395 kanun yang sama.
Manakala bagi Seksyen 342 Kanun Keseksaan hukuman penjara adalah setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bertindak atas maklumat, pada 31 Januari lalu, Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kajang telah menahan tiga lelaki berumur dalam lingkungan 32 hingga 53 tahun.
Polis juga merampas merampas sebuah kenderaan dan tiga buah telefon bimbit.
Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan mengaku ada meminta wang daripada pengadu, katanya.
Kesemua suspek hari ini telah dibawa ke Mahkamah Kajang dan permohonan reman dapat dibuat selama lima hari bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette