Radzi Anwar
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu penting kerana hukuman yang dikenakan terhadap Najib adalah daripada kes berprofil tinggi dan penjelasan terhadap asas dan sebab yang digunakan dalam membuat keputusan itu adalah perlu dan rakyat berhak untuk mengetahui.

Malah katanya, kes yang melibatkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga turut mendapat perhatian umum bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Saya sendiri turut menerima pelbagai maklum balas daripada masyarakat sejurus selepas kenyataan media dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan petang tadi (semalam),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 selepas Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk meringankan hukuman beliau.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu semasa mesyuaratnya yang ke-61 pada 29 Januari lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urussetia Lembaga Pengampunan semalam, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM120 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri. – MalaysiaGazette