BUKIT MERTAJAM – Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) termasuk seorang berpangkat Sarjan diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes peras RM4,500 daripada pekerja kilang dalam kejadian di Jalan Permatang Tinggi di sini.
Masing-masing berusia antara 24 hingga 48 tahun yang berkhidmat di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) itu ditahan semalam selepas lelaki berusia 27 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian pada Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil siasatan mendapati dalam kejadian jam 10.15 malam, pekerja kilang tersebut sedang memandu kereta jenis Toyota Viso dari Jalan Permatang Tinggu menghala ke rumahnya di Simpang Ampat sebelum ditahan dua kereta peronda.
Jelas beliau, tiga anggota polis dari dua MPV itu telah menjalankan pemeriksaan ke atas kereta mangsa sebelum menemui satu beg plastik mengandungi serbuk disyaki dadah.
“Bagaimanapun, mangsa menafikan dadah tersebut miliknya dan anggota di lokasi mengatakan dadah tersebut milik mangsa dan dia boleh dikenakan hukuman berat.
“Susulan itu, datang sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota sebelum mengarahkan mangsa membayar RM10,000 bagi mengelak dirinya diberkas.
“Berlaku perbincangan antara mereka mangsa diminta bayar RM4,500 dan dia telah menyerahkan wang tersebut kepada salah seorang anggota bukan di lokasi tangkapan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Difahamkan, mangsa telah mengeluarkan sejumlah wang dari bank sebelum menyerahkannya kepada anggota tersebut di tepi jalan berhampiran Gereja Katolok Permatang Tinggi di sini.
Tambah Kok Chin, bertindak atas maklumat aduan tersebut pihaknya menahan lima anggota yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap lima suspek itu akan dibuat pagi ini,” katanya.
Mengulas lanjut Kok Chin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggota yang terlibat dalam jenayah mahupun rasuah.
“Seperti mana saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa siasatan terhadap warga PDRM yang terlibat dalam salah laku jenayah akan disiasat secara telus selain mereka berdepan tindakan tegas.
“Jadi saya tidak akan kompromi ke atas pegawai serta anggota yang melakukan kesalahan jenayah, rasuah serta dadah,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
Peras wang satu hal, yg lebih menakutkan ialah polis tu palsukan bukti paket dadah dlm kereta mangsa. Kalau la mangsa ditahan, boleh dihukum gantung sedangkan bukti tu dipalsukan oleh polis. Gila lah…