Foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) menyarankan tujuh perkara kepada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan gerak kerja bagi mengangkatkan isu Palestin secara bersungguh.

MAIM menerusi kenyataan berkata, tujuh perkara itu adalah rakyat dan kerajaan perlu bekerjasama memperkukuhkan pendirian dan tindakan membela Palestin sehingga tercapai hak dan kemerdekaan negara Palestin yang berdaulat.

Katanya, perkara kedua adalah membantu mangsa keganasan di Gaza untuk mendapat bantuan kemanusiaan yang mendesak; makanan, ubatan, perlindungan, air minuman termasuk membawa pesakit-pesakit yang cedera untuk mendapat rawatan di Malaysia.

Malah, kutipan tabung kemanusiaan untuk Gaza perlu diselaraskan secara telus bagi memastikan bantuan sampai ke Gaza.

“Kita kena menyokong tindakan mendakwa Zionis Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan memastikan hukuman yang diputuskan dikuatkuasakan.

“Selain itu, usaha menggantung keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika mereka ingkar arahan ICJ dan PBB dalam isu Gaza demi menjaga kredibiliti PBB walaupun sebenarnya Israel sepatutnya telah lebih lama digantung keahlian kerana dasar aparteid, penghapusan etnik dan jenayah genosid yang diamalkannya.

“Kempen memboikot barangan dan perkhidmatan pro-Israel perlu dilancarkan dengan berkesan,” katanya.

Tambah MAIM, tindakan lain yang perlu dibuat adalah mengadakan perhimpunan aman untuk mengembleng masyarakat di Malaysia agar suara bantahan terus diketengahkan tanpa henti ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, langkah menggesa badan dunia PBB dan OIC bertindak segera secara berkesan menghentikan peperangan dan menuntut gencatan senjata kekal serta merta bagi mengelak keganasan tentera penceroboh Israel ke atas Gaza.

Terdahulu, dalam kenyataan sama MAIM menegaskan bantahan keras terhadap jenayah genosid dan jenayah perang yang berterusan dilancarkan sejak 7 Oktober tahun lepas sehingga hari ini yang sudah menjangkau 121 hari tanpa henti oleh Zionis Israel terhadap Gaza.

Tegasnya, jenayah genosid mengikut undang-undang antarabangsa di Konvensyen Genosid 1948 dianggap ibu segala jenayah dan dengan himpunan, segala bukti yang terlalu jelas, tindakan barbarik Zionis Israel melanggar seluruh resolusi dan perundangan dunia masih berterusan malah, semakin meningkat.

“Akibat badan dunia gagal menghukum Israel dengan jenayah genosid, bilangan mangsa di Gaza meningkat sehingga kepada skala paling mengejutkan.

“Kesengsaraan di Gaza terlalu mengerikan. Keganasan Israel atas alasan hak mempertahankan diri sudah tidak boleh diterima.

“Kami menyeru para Daie dan Asatizah di negara ini memainkan peranan agar masyarakat di Malaysia faham dan sedar bahawa tanggungjawab agama dan kemanusiaan perlu dilaksanakan untuk membela warga Palestin yang tertindas.,” tambahnya. – MalaysiaGazette