Tedros Adhanom Ghebreyesus.

LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan Hospital Eropah di selatan Gaza yang kemungkinan meningkatkan risiko wabak penyakit.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, seramai 22,000 orang berlindung di Hospital Eropah di selatan Gaza kerana pertempuran intensif yang berterusan di Khan Younis, yang turut menghalang akses ke hospital.

“Pasukan dan rakan kongsi WHO semalam menyaksikan kesesakan yang melampau di dalam kemudahan itu – keadaan yang benar-benar tidak berperikemanusiaan untuk pesakit, pekerja kesihatan kerana mereka yang tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat,” tulisnya di X.

Katanya, hospital berkapasiti 670 katil itu kini dipenuhi dengan 800 pesakit.

Oleh itu, jabatan kecemasan, unit rawatan rapi, pembedahan dan penjagaan luka, penjagaan kanak-kanak dan neonatal, serta perkhidmatan makmal dan radiologi mempunyai fungsi yang terhad.

“Akses terhad kepada air bersih dan sanitasi meningkatkan risiko wabak penyakit,” kata ketua WHO itu, mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata.

Israel telah membunuh lebih 27,000 orang di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan rentas sempadan 7 Oktober 2023 oleh Hamas, yang meragut nyawa 1,200 orang.

Serangan tentera telah menyebabkan perpindahan dan kemusnahan besar-besaran dan mewujudkan keadaan kebuluran di Gaza. – Agensi