KUANTAN – Dua orang guru di Temerloh mengalami kerugian sebanyak RM158,176 setelah terpedaya sindiket penipuan atas talian dalam dua kejadian berasingan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa pertama merupakan seorang guru wanita berusia 54 tahun yang terpedaya setelah dihubungi seorang individu mendakwa sebagai pegawai pejabat pos.
”Pada 28 Ogos 2023, mangsa menerima panggilan telefon dari suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai pejabat Pos Alor Setar dan mohon membuat tuntutan atas barang yang diterima atas nama mangsa iaitu simkad, buku cek token, serta pendrive.
”Mangsa menafikan, namun panggilan tersebut telah disambungkan kepada pegawai polis yang mengatakan bahawa mangsa terlibat dengan kes pengubalan wang haram dan penjualan dadah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian diminta untuk membuat pemindahan wang sebanyak RM89,450 ke dalam empat akaun bank berlainan bagi membersihkan nama daripada kes tersebut.
Dalam kejadian lain, pada 27 Januari lalu, mangsa seorang lelaki berumur 51 tahun telah melihat iklan jualan smart tag berharga RM150 di laman sosial Facebook.
Katanya mangsa telah diberi pautan http://maxtagsmy.store/sales bagi urusan pembelian.
Yahaya berkata, setelah memasukkan butiran seperti My Kad, nama, alamat rumah dan telah membuat pembayaran di link yang tersebut tetapi gagal kerana gembang pembayaran tidak berfungi.
”Pada 29 Januari lalu jam 8.30 malam mangsa telah mendapati sebanyak 14 transaksi pengeluaran wang telah dibuat daripada akaun bank miliknya ialah hasil wang simpanan mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette