KULAI – Persatuan Kontraktor India Makmur Negeri Johor khuatir ahlinya akan gulung tikar berikutan kurang mendapat tawaran projek daripada kerajaan negeri dan beberapa agensi sejak kebelakangan ini.
Pengerusinya, S Suppayah berkata, kontraktor gred G1 seta G2 paling teruk terjejas sedangkan dalam Bajet 2024, kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk membantu kontraktor tempatan.
Jelasnya, ia membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan pada tahun ini dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.
“Namun malangnya peluang yang ditawarkan kepada kontraktor persatuan ini semakin berkurangan, misalnya sebelum ini ahli persatuan berkenaan ditawarkan hampir 60 projek namun kini berkurangan kepada 10 projek.
“Menerusi projek yang ditawarkan sebelum ini, pihak kami memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin dengan mempamerkan prestasi pelaksanaan terbaik,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Suppayah, menerusi pelaburan kerajaan negeri berjumlah 2.4 billion bagi pembangunan bagi 2021 hingga 2023, sepatutnya pembahagian peluang bagi semua kumpulan kontraktor perlu adil serta munasabah.
“Kami sentiasa memastikan pelaksanaan projek dianugerahkan kerajaan negeri mematuhi beberapa aspek seperti kualiti, produktiviti dan profesionalisme, oleh itu sepatutnya persatuan kami yang memiliki 60 kontraktor dipertimbangkan,” ujarnya.
Menurutnya, 30 hingga 40 kontraktor persatuan tersebut juga tidak mahu memperbaharui lesen kerana berpendapat hanya merugikan jika berbuat demikian dalam keadaan ketiadaan projek.
Beliau yang juga Ketua Biro Usahawan MIC Johor itu berkata, selain itu pihaknya menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini supaya masalah itu diberi perhatian. – MalaysiaGazette